MOTOGP

MotoGP: Espargaro mohon maaf kesilapan memalukan dalam GP Catalan

Shaiful Shamsudin 06/06/2022 | 04:28 MYT
Aleix Espargaro memohon maaf kepada pasukannya atas kesilapan besarnya dalam Grand Prix (GP) Catalan hingga memberikan Fabio Quartararo ruang untuk melebarkan kelebihan dalam kejuaraan MotoGP.
Quartararo muncul juara awal pagi tadi sementara Espargaro terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima di Barcelona.
Espargaro menyangka dia sudah berada dalam pusingan terakhir ketika bersaing hebat dengan pelumba Perancis itu di samping Jorge Martin menuju garisan penamat sebelum tiba-tiba bertindak melambai-lambai ke arah penyokong sebagai tanda meraikan perlumbaannya.
Kesilapan itu turut mengakhiri pencapaian podium keempat berturut-turut buat Espargaro selepas tergelincir ke tangga kelima selain 22 mata di belakang pendahulu, Quartararo.
Pelumba Aprilia itu segera meminta maaf atas kesilapannya selepas perlumbaan berkenaan sambil menjelaskan dia tersilap membaca kiraan pusingan di menara pemasaan litar.
"Saya minta maaf. Itu satu-satunya perkara yang boleh saya katakan, maaf kepada pasukan saya. Ia kesilapan saya sepenuhnya," katanya kepada pemberita.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Orang saya (tukang papar papan pit) adalah individu pertama (dalam setiap pusingan), jadi saya tidak sempat untuk melihat jumlah pusingan. Beberapa pusingan terakhir saya tidak mempunyai masa untuk melihat catatan baki pusingan termasuk jurang saya dengan Jorge Martin.
"Ketika itu saya cuba mengerah jentera ke tahap maksimum jadi saya hanya melihat jurang +0.6 dengan Martin, kemudian saya menjeling ke arah menara dan saya melihat 'L1'.
"Jadi saya sebenarnya perlu melengkapkan satu pusingan lagi kerana terlupa bahawa di Barcelona ini pusingan terakhir bermaksud 'sifar' dan bukannya 'satu'. Sebab itu saya memperlahankan motosikal di jalan yang lurus.
"Jadi saya sangat kesal kerana gagal menyekat kemenangan Quartararo. Tetapi jika saya mahu menewaskannya dalam perebutan gelaran, saya tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini.
"Hari ini, saya kehilangan sembilan mata, jadi saya minta maaf sangat-sangat."
Keputusan penuh:
1. Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha)
2. Jorge Martin (Pramac Racing) +6.473 seconds
3. Johann Zarco (Pramac Racing) +8.385s
4. Joan Mir (Suzuki Ecstar) +11.481s
5. Aleix Espargaro (Aprilia Racing) +14.395
6. Luca Marini (Mooney VR46) +15.430
7. Maverick Vinales (Aprilia Racing) +15.975
8. Brad Binder (Red Bull KTM) +21.436
9. Miguel Oliveira (Red Bull KTM) +26.800
10. Alex Marquez (LCR Honda) +30.460
;