MOTOGP

MotoGP: Bagnaia lepasi perlumbaan terburuk untuk bergelar juara dunia bersama Ducati

Muzaffar Musa 07/11/2022 | 01:45 MYT
Francesco Bagnaia berlinangan air mata selepas menamatkan perlumbaan bersama jentera bermasalahnya, sekali gus bergelar juara dunia MotoGP untuk menamatkan penantian 50 tahun Itali bagi menyaksikan pelumba mereka memenangi gelaran berkenaan dengan menggunakan jentera buatan mereka.
Sebelum perlumbaan Gran Prix Valencia malam tadi, Bagnaia hanya memerlukan dua mata untuk memastikan kejuaraan, sekali gus menghalang Fabio Quartararo daripada mempertahankan gelaran yang dimenanginya musim lalu.
Bagaimanapun, pelumba berusia 25 tahun itu memilih jalan sukar sapanjang musim ini, di mana dia bangkit daripada permulaan perlahan pada awal musim sebelum menduduki tangga teratas kategori pelumba, akan tetapi perlumbaan terakhir musim ini juga bukan sesuatu yang mudah buatnya.
Walaupun Bagnaia memulakan perlumbaan dengan cukup baik untuk memberikan tekanan buat Quartararo -- yang memerlukan kemenangan walaupun seterunya itu gagal menamatkan perlumbaan -- perlanggaran di antara kedua-dua pelumba berkenaan menyaksikan Bagnaia kehilangan sayap kanan di jenteranya.
Bekas juara Moto2 itu kemudian bergelut untuk ke garisan penamat, sekali gus kelihatan cukup beremosi selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan mengesahkan kejuaraan.
"Ia merupakan perlumbaan terburuk tahun ini, mungkin sepanjang hidup saya kerana saya bergelut dengan jentera saya," kata Bagnaia kepada BT Sport.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Pada permulaan, segalanya berjalan dengan baik, semuanya baik-baik sahaja.
"Tetapi selepas kehilangan sayap, saya amat bergelut -- amat-amat bergelut.
"Amat sukar untuk saya mengawal segala-galanya.
"Saya hanya mencuba untuk sampai ke pusingan akhir dengan tenang. Pada akhirnya, saya dapat lihat di papan saya bahawa saya adalah juara dunia.
"Saya mula menangis dengan teresak-esak. Ia sesuatu yang amat luar biasa," katanya.
#motoGP #Permotoran #Sukan Permotoran #Ducati #Francesco Bagnaia #Kejuaraan Dunia MotoGP
;