MotoGP: Bagnaia berdoa panjang agar Martin akhiri perlumbaan tempat ke-10

King Hisyam
November 17, 2024 10:55 MYT
Nampaknya pusingan akhir perlumbaan MotoGP bagi musim 2024 yang akan berlangsung di Barcelona hari ini bagi menentukan siapakah yang bakal dinobatkan selaku juara dunia bagi musim ini seakan benar-benar telah merangka laluan berliku untuk Jorge Martin.
Manakan tidak, Francesco Bagnaia kelihatanya akan melakukan segala daya mungkin untuk menghalang pelumba dari Prima Pramac Racing itu melaksanakan misi terakhirnya di litar Circuit de Catalunya, bahkan dia memang mahu memastikan mahkota juara itu menjadi miliknya sekali lagi.
Bagnaia nyata telah menghantar isyarat yang jelas itu kepada Martin apabila dia mempamerkan prestasi menakjubkan dengan memenangi perlumbaan Sprint di Grand Prix Solidariti pada Sabtu.
Dengan kejayaan tersebut, Bagnaia kini semakin mengecilkan radius defisit mata keseluruhan dengan Martin sekaligus menyaksikan tugasnya kini lebih mudah dan lebih dekat untuk gelaran juara dunia.
Jika sebelum ini Bagnaia dan Martin dipisahkan dengan 24 mata sebelum tiba di Barcelona, namun dengan kemenangan dalam acara Sprint dia kini hanya dipisahkan dengan 19 mata.
Ini bermakna Bagnaia perlu menyelesaikan misi untuk menamatkan perlumbaan sebenar hari ini di tempat pertama, namun dalam masa yang sama juga dia perlu berdoa banyak-banyak dengan mengharapkan Martin pula hanya akan menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 dan ke atas.
Jika perkara itu mampu dilakukan, bermakna Bagnaia akan dinobatkan selaku Juara Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
#motoGP #Jorge Martin #Francesco Bagnaia
;