BOLING PADANG
MLB Tigers Grand Slam: Tekanan tinggi selaku pemain nombor satu dunia -- Izzat Shameer
Pemain boling padang nombor satu dunia, Izzat Shameer Dzulkeple, mahu mengubah keadaan yang memberi tekanan kepadanya selaku status pemain terkemuka yang di pegang sejak tiga minggu lalu.
Kejohanan Boling Padang MLB Tigers Grand Slam menjadi medan terbaik Izzat untuk menyesuaikan diri terhadap prestasi semasa serta tidak mahu memikul bebanan yang terlampau tinggi.
Perkara tersebut sedikit sebanyak memberikan kondisi kurang selesa buat Izzat yang merasakan dia beraksi di bawah kemampuan sebenar meskipun rasa takut dan gementar adalah situasi normal buat semua atlet.
Iklan
"Perasaan takut dan gementar itu ada sebab rasa baru lagi dengan pencapaian itu tetapi dalam sukan boling padang ia dianggap biasa cuma perlu kawal dengan baik," katanya.
Kejohanan yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Bukit Kiara itu menjadi platform terakhir buat Izzat menguasai semula permainannya selain turut menjadi pilihan utama acara itu.
Izzat mensasarkan kedudukan podium dalam Kejohanan Bowl Klasik Antarabangsa di Hong Kong dan Kejohanan Juara antara Juara di New Zealand, November depan, memandangkan ia penyertaan yang mengutip mata bagi kedudukan ranking dunia.
"MLB Tigers Grand Slam ini ialah satu latihan buat saya selain persiapan menjelang kejohanan besar bulan depan.
"Penganjuran pertandingan ini sangat bagus kerana ia disertai oleh banyak pemain kebangsaan dan saya boleh menilai tahap permainan saya.
"Saya mahu kurangkan tekanan sebaliknya mengidamkan sebarang pingat untuk mengumpul mata ranking," tambahnya.
Must-Watch Video