BOLING PADANG
MLB Tigers Grand Slam: Persiapan terbaik sebelum ke Hong Kong
Aksi pertama Kumpulan D menyaksikan wakil pasukan Emerald Ace A, Amirul Danial Abdul Rahman dan Haikal Roslan menewaskan pasangan senior pasukan PDRM C, Soufi Rusli dan Ikmal Imran Mohd Rosli dalam Kejohanan Boling Padang MLB Tigers Grand Slam di Arena Lawn Bowls Bukit Kiara.
Amirul Danial yang merupakan pemenang Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 mengakui dia berhadapan situasi sukar ketika permainan sebelum kembali mengikat aksi 1-1 serta cemerlang ketika tie break.
Kemenangan keatas pasukan pilihan yang memiliki pengalaman lebih luas berbanding dirinya membuatkan mereka menarik nafas lega dan meraikan kejayaan manis tersebut.
"Pihak lawan saya bukannya calang-calang pemain dan sudah tentu perlawanan tersebut sangat sengit termasuk diri saya yang mencari rentak sempurna, namun Alhamdulillah saya dapat kembali dalam permainan.
"Pada 2 Disember sehingga 8 Disember depan, saya akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Remaja Dunia B-25 tahun di Hong Kong.
"Saya jadikan permainan di sini sebagai latihan untuk memberi semangat buat saya menjelang penyertaan saya di Hong Kong nanti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.