Kejuaraan dalam acara pairs open Kejohanan Boling Padang MLB Tigers Grand Slam 2024 menjadi detik paling bermakna buat dua sahabat karib, Amirul Danial Rahim dan Haikal Roslan.
Ia merupakan penampilan pertama mereka digandingkan dan ia sudah pun membuahkan hasil.
Sejak di awal usia, Amirul dan Haikal sudah dipupuk untuk menjadi atlet negara dan kini, impian itu sudah terlaksana.
Selepas berakhir Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada Ogos lalu, Amirul menggunakan pentas MLB Tigers Grand Slam untuk merealisasikan impian arwah bapanya, yang mahu melihatnya beraksi bersama Haikal.
Dua pemain Emerald Ace itu menjadikan bapa mereka sebagai Idola dan kejuaraan kali ini menjadi simbolik persahabatan mereka diangkat ke pentas tertinggi di negara ini.
"Orang tua kami, terutama arwah ayah saya, nak sangat melihat kami bergandingan," kata Amirul kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Seperti yang bapa Haikal katakan, jika dia dapat melihat kemenangan kami ini, arwah ayah saya juga dapat pasti dapat melihatnya di sana.
"Jadi ini satu hadiah untuk kedua-dua orang tua kami," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Oct 13 2024