HOKI

Mirnawan seru pemain lain bangkit isi kekosongan Faizal Saari

Hanis Natasya Lizam 01/03/2025 | 10:45 MYT
"Kita harus menghormati keputusan Faizal Saari', kata legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.
Mirnawan menegaskan bahawa keputusan Faizal untuk bersara daripada skuad kebangsaan harus dihormati, selepas lebih 300 penampilan dan 15 tahun mengabdikan diri dalam arena hoki Malaysia.
Menurut Mirnawan, keputusan untuk mengundurkan diri daripada pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia adalah lumrah bagi setiap atlet.
Mirnawan sendiri pernah melalui situasi yang sama ketika bersara selepas Piala Dunia Hoki 2002 di Kuala Lumpur.
"Sudah tentu, kehilangan Faizal memberi impak kepada skuad kebangsaan.
"Tetapi saya sentiasa melihat dari sudut positif setiap pemain mempunyai tempoh mereka sendiri.
"Akan tiba masanya mereka perlu membuat keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya, sama seperti saya dahulu selepas 15 tahun bersama pasukan negara.
“Jadi, inilah yang berlaku kepada Faizal, dan kita harus menghormati keputusan Faizal," katanya kepada wartwan Astro Arena, Kamal Nizam.
Mirnawan turut menegaskan bahawa dengan ketiadaan Faizal, pemain lain perlu bersedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Meskipun mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti setaraf Faizal, Mirnawan percaya situasi ini membuka peluang kepada generasi pelapis untuk mengorak langkah menjadi penyerang prolifik buat skuad The Speedy Tigers.
"Menggantikan pemain seperti Faizal bukan tugas mudah.
"Ia memerlukan masa dan usaha berterusan.
"Faizal juga merupakan pakar dalam aspek teknikal dan strategi pasukan.
"Namun, inilah hakikat dalam sukan berpasukan.
"Semua pemain perlu memainkan peranan masing-masing agar pasukan hoki negara terus maju ke hadapan," jelasnya.
#Hoki