Skip to main content

Sukan Lain

Miller berperanan bentuk asas skuad pecut

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

olahraga-dwayne-millers.jpg
Pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Miller, tidak merancang untuk mengambil alih tugas selaku jurulatih pecut sambil menganggap khidmatnya melatih beberapa jaguh utama seperti Mohd Zulfiqar Ismail sejak bulan lalu sekadar bersifat sementara.

Beberapa pelari pecut negara, termasuk Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally, turut kelihatan mendapat sentuhan pakar dari Amerika Syarikat (AS) itu sejak bulan lalu.

Miller mengakui atlet terbabit bertemunya untuk mendapat tunjuk ajar mengenai program latihan asas selama lapan minggu.

Namun, beliau tidak merancang untuk bertindak sebagai jurulatih pecut negara.

"Saya tidak akan menggalas tugas sebagai jurulatih. 

"Buat masa ini, saya hanya menetapkan laluannya (program latihan) kepada atlet sementara menunggu pelantikan jurulatih lain,” katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 
 
Tambahnya: "Apa yang penting ketika ini, saya dapat membentuk asasnya. Jadi, sebaik jurulatih baru dilantik, saya boleh bantu dalam acara pecut 100m, 200m dan 400m.

"Ia akan menjadi lebih mudah buat mereka.

"Walaupun akan ada pelantikan jurulatih, saya akan memainkan peranan memantau program ini. 

"Saya tidak akan menghilangkan diri begitu sahaja kerana saya sedia berkhidmat untuk jurulatih juga, bukan setakat atlet.”
 
Sebelum ini, Zulfiqar berlatih dengan jurulatih, Mohd Poad Kassim, di Johor sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dia berpotensi mengambil alih status pelari pecut utama negara yang kini disandang juara Sukan SEA Filipina 2019, Mohd Haiqal Hanafi.



Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video