Mike Mahen: 'Main besi' lebih penting daripada Mr. Universe

Muzaffar Musa
Jun 9, 2020 22:26 MYT
"Main besi" lebih penting daripada MR. Universe, kata jaguh sukan bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, yang menganggap keputusan kerajaan membenarkan gimnasium untuk beroperasi semula pada Isnin depan sebagai pengubat rasa kecewa selepas hilang gelaran Mr. Asia dan MR. Universe ekoran kedua-kedua kejohanan berkenaan, yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini, dibatalkan.
Kebenaran untuk berlatih di gimnasium mengubat kekecewaan pemenang gelaran Mr. Universe sebanyak empat kali itu selepas kehilangan dua gelaran utama tahun ini.
Syarul Azman, yang lebih dikenali sebagai Mike Mahen, sepatutnya menjadi pilihan utama untuk mempertahankan gelaran Mr. Asia dan Mr. Universe dalam kategori badan klasik selepas mendominasi kedua-dua saingan itu tahun lalu.
Kedua-dua kejohanan itu dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Mike berkata: "Saya memang rasa hampa memandangkan saya adalah juara bertahan bagi kedua-dua kejohanan itu.
"Tiada gelaran tahun ini tidak mengapa asalkan kerajaan membenarkan kami untuk ke gimnasium. Itulah yang penting.
"Jadi, saya boleh bersedia dengan lebih baik untuk saingan tahun depan sebab ada masa setahun lagi.
"Saya akan memulakan penjagaan pemakanan yang serius bermula September depan hingga ke tahun depan," katanya.
Struktur otot Mike tidak banyak terjejas walaupun hanya berlatih di rumah sejak Mac lalu.
Ia satu kelebihan buat atlet berusia 47 tahun itu.
"Walaupun lama tidak berlatih, saya ada melakukan senaman sendiri, jadi otot saya tidak hilang, cuma untuk memegang semula besi dengan keberatannya, ia agak berbeza dengan hanya menggunakan berat badan.
"Jadi, saya perlu berhati-hati agar tidak cedera," tambahnya.
#Bina Badan #Syarul Azman Mahen Abdullah #Mr. Asia #Mr. Universe
;