HOKI
MIHL: ATM-The Gladiators, DBKL HT juara edisi sulung
Pengalaman mewakili negara menjadi kelebihan untuk ATM-The Gladiators melakar sejarah menjuarai edisi pertama Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) apabila menewaskan DBKL HT 4-2 dalam final di Tanjung Malim, Perak, malam tadi.
ATM membuka jaringan menerusi Syafiq Yaakob seawal minit pertama sebelum melebarkan kedudukan menerusi Norhafizi Jamil Azomi pada minit ke-21.
DBKL tidak mahu mengaku kalah dengan merapatkan kedudukan menerusi Rafizul Ezry Mustafa, seminit kemudian.
Iklan
Namun, ATM membalas dengan dua gol pantas dalam tempoh empat minit, masing-masing menerusi Razali Hazemi dan Norfadzeli Nasir.
DBKL cuba bangkit tetapi jaringan Aslam Hanafiah terlalu lewat untuk menghalang seteru mereka itu untuk muncul juara.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Hoki Dalam Dewan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Rodhanizam Mat Radzi, menegaskan badan induk itu kini dalam misi mempersiapkan pasukan mantap bagi menghadapi saingan Piala Asia yang berlangsung pada Mac 2022 di Chonburi, Thailand.
Saingan MIHL yang menutup tirai malam tadi itu turut menjadi pelantar buat KHM mengintai bakat-bakat berkualiti yang akan menggalas nama Malaysia di pentas antarabangsa kelak.
"Kami telah mengenal pasti pemain untuk sesi pemilihan.
"Mungkin ada pemain yang pernah bermain dalam Sukan SEA tetapi tidak terlibat dalam liga akan diundang untuk sesi pemilihan selepas ini.
"Mungkin akan ada juga pemain daripada pasukan remaja akan tersenarai dan pemilihan ini bertujuan untuk membentuk sebuah pasukan hoki dalam dewan kebangsaan.
"Kami juga memantau jurulatih dalam liga ini dan mereka akan panggil untuk membentangkan perancangan mereka terhadap pasukan kebangsaan.
"Ada jurulatih baru yang berpotensi untuk digilap," katanya.
Sementara itu, DBKL HT menjulang kategori wanita selepas menundukkan MOHC 3-1.
Must-Watch Video