SUKAN LAIN

Michael serah laporan polis kepada PPS

Penulis Jemputan 11/02/2020 | 11:41 MYT

Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, menyerahkan empat salinan laporan polis terhadap pemimpin badan induk itu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Laporan polis dibuat oleh Michael sendiri dan dua lagi exco MASCA yang lain, iaitu Liang Soon Peng dan Raja Shahrul Azremel Raja Shahar, berhubung isu transaksi akaun persatuan serta pembelian 50 kayak.
"Saya sendiri telah melakukan laporan polis atas transaksi yang melebihi RM500,000 kepada IPD Brickfields di bawah jenayah komersial," kata Michael.
Sebelum ini, sembilan daripada 13 exco dan lapan ahli gabungan telah menandatangani petisyen undi tidak percaya terhadap Megat Shahriman, namun Michael menjelaskan mereka masih menunggu kata putus daripada PPS.
Sementara itu, Megat Shahriman mengambil langkah untuk mengunci mulut serta enggan memberi sebarang kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat oleh tiga exco badan induk itu.
Menurutnya, ketika ini beliau mahu memberi tumpuan kepada urusan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) terlebih dahulu sambil menyelesaikan beberapa perkara sebelum melepaskan jawatan presiden MASCA.
"Kita cuba melakukan yang terbaik, kita seorang yang mengeluarkan duit. Kalau ada yang meletakkan sesen sekalipun, tampillah ke hadapan," katanya.
"Saya telah lama melakukan perkara ini tetapi tidak melakukan laporan polis, pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepada umum, ini adalah isu dalaman. Saya tetap menjaga aib dan kredibiliti persatuan. Susah untuk menangani individu-individu sebegini dalam persatuan."
Editor: Ammar Hakim

;