SUKAN LAIN
MGF sentiasa berdiri di belakang kejayaan atlet -- Rachel
Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, menegaskan badan induk itu sentiasa berdiri di belakang kejayaan atlet apabila pingat emas Sukan SEA 2019, Izzah Amzan, sekali lagi ditarik balik.
Sebelum ini, bantahan kontinjen Malaysia untuk mendapatkan semula pingat emas atlet gimnastik itu mendapat perhatian Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).
Ini selepas ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengesahkan Izzah akan mendapat semula pingat emas yang dimenanginya dalam acara reben.
Bagaimanapun, kini pingat emas Izzah tampak seperti ditarik balik apabila laman sesawang Sukan SEA Filipina mempamerkannya sekadar meraih pingat perak.
"Jika atlet negara berhak untuk meraih pingat emas, kami akan memperjuangkan hak itu," kata Rachel.
Walaupun perkara sebegini memberi impak negatif terhadap atlet tersebut, Rachel optimis Izzah mempunyai daya kekuatan mental yang cukup untuk terus fokus dalam latihan dan mengharungi kempen kejohanan 2020.
"Saya berasakan Izzah kecewa, namun dia seorang atlet yang memilik tahap kekuatan mental yang tinggi. Kami sedang berusaha untuk memperjuangkan pingat emas Izzah dan saya berasakan dia mampu mengharungi semua ini."
Editor: Ammar Hakim