SUKAN ASIA 2018
Menembak: Seong Fook sedia bayar semula kos penyertaannya
Atlet menembak trap negara, Chen Seong Fook, sedia untuk membayar semula kos perbelanjaan yang dikeluarkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sebanyak RM5,000 selepas gagal menyumbang pingat dalam Sukan Asia Indonesia.
Seong Fook antara salah seorang atlet menembak yang diletakkan dalam kategori B dan sepertimana yang dibincangkan bersama NSAM, dia sepatutnya membayar kembali kos perbelanjaan yang dikeluarkan sekiranya gagal mempamer aksi cemerlang dalam temasya sukan itu.
Atlet berusia 53 tahun itu, yang menduduki ranking ke-26 secara keseluruhan di Palembang, sedar dengan pencapaian itu dan rela untuk mengeluarkan wang poket bagi membayar balik kepada persatuan.
Iklan
Namun, dia tidak menolak tetap mengharapkan usaha NSAM untuk membantu mengurangkan kos berkenaan selain mencari penaja.
"Persatuan yang mengeluarkan peruntukan terlebih dahulu, sehingga kini saya belum mengeluarkan sesen pun.
"Kami telah menandatangani perjanjian bahawa jika kami gagal meraih pingat, kami perlu membayar sendiri kos (beraksi dalam Sukan Asia)," ujarnya.
Seong Fook merupakan atlet pertama yang tiba di tanah air dari Indonesia hari ini, dengan dia kini ingin menghalakan fokus kepada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Taiwan, Oktober depan.
"Saya harap dapat memecah rekod kebangsaan (120 birds) yang kini dipegang bersama-sama dua lagi penembak.
"Perancangan saya adalah untuk mengatasi rekod itu, sama ada mampu atau tidak, saya tidak pasti.
"Saya mahu melakukannya sebelum mencapai usia 60 tahun," katanya.
Must-Watch Video