Skip to main content

Sukan Asia

Mendayung: Khairuddin tidak rela tamatkan saingan di kedudukan tercorot

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

muhammad-khairrudin-azwi-mendayung.jpg
Atlet mendayung negara, Muhammad Khairudin Azwi, tidak rela terus menamatkan saingan di tempat tercorot apabila bakal membuat perhitungan terakhir untuk menentukan tempat ketujuh hingga ke-12 dalam acara single sculls lelaki Sukan Asia Indonesia di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Khamis ini.

Malang terus menimpa Khairuddin apabila dia sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat terakhir dalam pusingan repechage hari ini, sekali gus memadamkan impiannya untuk beraksi di pentas final.

Bagaimanapun, catatan masanya bertambah baik dalam pusingan ini, dengan catatan 8 minit 37.41 saat, berbanding sesi kelayakan kelmarin sekadar 9 minit 17.55 saat.

Menjelang penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 Khamis ini, dia akan mencuba untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik sebagai rekod yang boleh dibanggakan dalam penampilan pertamanya dalam Sukan Asia.

"Saya akan berusaha memperbaiki catatan masa yang lebih bagus daripada perlumbaan terdahulu semasa final top B nanti," ujarnya.

Biarpun persiapan Khairuddin tidak segah atlet dari negara lain, hanya berbekalkan latihan singkat sebulan di tanah air, dia tetap berasakan pengalaman beraksi dalam Sukan Asia ini adalah sesuatu yang amat bernilai.

"Jika dibandingkan dengan persiapan negara lain, atlet Malaysia memerlukan lebih masa lagi. 

"Menjelang sesuatu pertandingan, mereka menjalani persiapan yang lebih lama. 

"Kalau kami dapat menjalani latihan yang tersusun, kami pasti dapat menyaingi negara-negara lain," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video