Skip to main content

Sukan Asia

Mendayung: Amirul sasar cemerlang dalam final B

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

amirul.jpg
Meskipun muda dan cetek pengalaman di pentas antarabangsa, atlet mendayung negara, Muhammad Amirul Norhadi, tidak gentar dengan cabaran pendayung negara lain sambil bertekad mahu menamatkan saingan sebagai pendahulu dalam final B, iaitu penentuan tempat ketujuh hingga 12 yang dijadualkan berlangsung esok.

Amirul hampir mencipta kejutan ketika pusingan repechage lightweight single sculls semalam, namun usahanya masih tidak cukup untuk menempatkan diri di pentas final meskipun meraih kedudukan ketiga.

Dia kini akan bersaing dalam final B, iaitu penentuan tempat ketujuh hingga 12.

Berdasarkan catatan masa yang dilakar, 8 minit 35.13 saat, Amirul menghuni tangga kelapan ketika ini dalam kalangan peserta bertanding dan dia yakin untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tempat ketujuh menerusi aksi final B.

"Saya mahu mendapatkan tempat pertama dalam final B. Jika boleh, saya mahu melakukan terbaik dalam aksi esok," kata Amirul.

Berbanding lawan yang mempunyai pengalaman dan latihan rapi, Amirul tidak gentar meskipun Sukan Asia adalah medan kejohanan kompetitif bertaraf dunia yang pertama buat dirinya.

"Saya telah sampai ke tahap ini dan mahu membuktikan kepada semua pihak untuk memajukan lagi sukan ini."
 

Advertisement

Must Watch Video