Kejayaan atlet dalam sukan antarabangsa seperti Olimpik sering menjadi sumber kebanggaan bagi sesebuah negara.
Ia menyatu padukan rakyat dengan semangat patriotisme dan memberi perasaan kejayaan bersama. Selain itu, kemenangan di peringkat antarabangsa boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Ini mungkin memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam sukan, dan mendapat galakan ibubapa untuk menjadi atlet sukan negara serta sukan juga boleh membantu menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
Adakah kejayaan dalam pungutan pingat Olimpik memberikan kesan ketara kepada ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh Amerika Syarikat, kerap mendominasi pungutan pingat dalam banyak edisi Olimpik, seperti di Olimpik Tokyo 2020 dengan 113 pingat keseluruhan. Ekonomi Amerika Syarikat adalah salah satu yang terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar USD 21 trilion pada tahun 2020. Industri sukan di Amerika Syarikat bernilai sekitar USD 71.06 bilion pada 2018 dan dijangka mencapai USD 83.1 bilion pada 2023. Kejayaan sukan jelas memperkukuhkan ekonomi melalui peningkatan pelaburan, penajaan, dan penyiaran. Satu dunia melihat atlet kegemaran mereka seperti Michael Jordan (Basketball), dan akan membeli jenama seperti Nike kerana kejayaan atlet tersebut.
China juga merupakan dominasi utama dan sering berada di kedudukan teratas dalam pungutan pingat Olimpik. Di Olimpik Tokyo 2020, China memenangi 88 pingat keseluruhan. KDNK China pada tahun 2020 adalah sekitar USD 14.7 trilion, menjadikannya ekonomi kedua terbesar di dunia. Nilai industri sukan di China dijangka mencapai USD 773 bilion pada tahun 2025, sebahagian besar di dorong oleh kejayaan atlet mereka di peringkat antarabangsa seperti Lin Dan (Badminton), Yao Ming (Basketball), Sun Yang (Renang) dan lain lain. Ini menunjukkan bahawa pencapaian sukan bukan sahaja memberi kebanggaan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa telah memberi pendedahan atas kewujudan sesebuah negara di peta dunia. Malahan di era moden ini, jangan terkejut masih ada lagi penonton yang tidak tahu kewujudan Negara Malaysia melalui program rancangan bual bicara yang telah di jalankan. Secara tidak langsung, sukan meningkatkan imej negara di mata dunia, yang seterusnya boleh memberi kesan positif kepada industri pelaburan dan pelancongan. Selain itu, pembangunan sukan boleh menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Industri sukan termasuk penyiaran sukan, peralatan sukan, penajaan sukan, pertandingan sukan dan pelancongan sukan juga boleh memberikan manfaat ekonomi yang signifikan.
Bukti yang seterusnya negara Asia Jepun mencapai kejayaan besar di Olimpik Tokyo 2020 dengan memenangi 58 pingat. KDNK Jepun adalah sekitar USD 5 trilion pada tahun 2020. Walaupun Olimpik Tokyo 2020 diadakan dalam keadaan pandemik, ia memberikan impak ekonomi yang ketara dengan nilai anggaran sekitar USD 15 bilion dari segi pelancongan dan pembangunan infrastruktur. Kejayaan dalam sukan ini membuktikan bahawa pelaburan dalam acara sukan besar dapat memberikan pulangan ekonomi yang berbaloi. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP) merupakan ukuran ekonomi yang digunakan untuk menentukan nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan akhir yang dihasilkan oleh sesebuah negara dalam tempoh masa tertentu, biasanya dalam setahun atau suku tahun
Selain itu, United Kingdom memenangi 65 pingat di Olimpik Tokyo 2020. KDNK United Kingdom adalah sekitar USD 2.7 trilion pada tahun 2020. Olimpik London 2012 menyumbang sekitar GBP 9.9 bilion kepada ekonomi UK dari segi pelaburan langsung dan peningkatan pelancongan. Statistik ini menunjukkan bahawa kejayaan dalam sukan antarabangsa tidak hanya meningkatkan imej negara tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Negara yang mendominasi pungutan pingat Olimpik cenderung memiliki industri sukan yang kuat, yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelbagai saluran seperti pelaburan dalam infrastruktur, peningkatan pelancongan, dan pengembangan industri sukan. Secara keseluruhan, KDNK adalah alat yang penting untuk memahami keadaan ekonomi sesebuah negara, walaupun ia harus digunakan bersama dengan indikator lain untuk memberikan gambaran yang lebih lengkap dan tepat tentang kesejahteraan ekonomi dan sosial.
Sukan juga boleh menjadi alat diplomasi yang berkesan. Kejayaan sukan boleh membuka jalan untuk hubungan antarabangsa yang lebih baik dan meningkatkan pengaruh sesebuah negara di arena global. Namun, adalah penting untuk mengakui bahawa sukan hanyalah satu aspek dalam pembangunan negara. Pencapaian dalam bidang lain seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan teknologi juga memainkan peranan penting dalam menentukan kemajuan sesebuah negara. Seimbangkan antara pelaburan dalam sukan dan sektor lain adalah kunci untuk pembangunan yang holistik. Pelaburan yang bijak dalam pelbagai bidang akan memastikan bahawa negara bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga dalam semua aspek kehidupan yang lain. Dengan pendekatan yang menyeluruh, negara dapat mencapai kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan.
PENULIS
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP
PENGARAH PUSAT INOVASI DAN TEKNOLOGI SUKAN UTM,
PENSYARAH KANAN FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN.
Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Mon Aug 05 2024