SUKAN LAIN
Melvin kecewa MSN abaikan snuker, billiards
Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF), Melvin Chia, meluahkan kekecewaannya apabila Majlis Sukan Negara (MSN) meminggirkan sukan itu dengan tidak memberikan sokongan buat barisan atlet melakukan persiapan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.
Meskipun skuad snuker dan billiard pernah mengharumkan nama negara dengan menjuarai Kejohanan Terbuka Australia, Oktober lalu dan meraih pingat emas dalam Sukan SEA Singapura 2015, kebajikan atlet sukan itu tetap tidak terjaga.
Bagi Melvin, ia sesuatu yang tidak adil kerana ketiadaan program pembangunan dalam persatuan itu menyebabkan MSBF kehilangan ramai atlet utama seperti Moh Keen Ho yang berhijrah ke China.
Iklan
Tambahnya, MSBF perlu mencari dana sendiri sejak 2012 bagi menampung perbelanjaan atlet dalam usaha memastikan kejayaan mereka.
"Kami amat memerlukan bantuan kewangan daripada pihak yang berkenaan kerana dalam sukan ini, apabila tiada pembangunan, ia tidak akan ada harapan pada masa depan.
"Jika tiada sebarang bantuan yang disalurkan kepada persatuan ini, ia akan menjejaskan perkembangan sukan ini," katanya.
Melvin kini masih menunggu keputusan daripada MSN selepas mengadakan perbincangan dengan badan induk itu berhubung program pembangunan MSBF.
"Saya sudah bertanyakan kepada MSN, namun sampai ke hari ini, mereka masih belum pasti mengenai apa yang akan disalurkan kepada persatuan.
"Buat masa ini, sehingga keputusan itu dikeluarkan, mereka tidak akan mengadakan sebarang pertemuan.
"Kami masih menunggu mereka kerana sekarang hanya tinggal enam bulan dan kami tiada sebarang petanda untuk memulakan program latihan kerana kami tidak tahu apa yang mahu dibincangkan dengan atlet.
"Tempat latihan pun tiada dan kami sudah memintanya sejak tujuh tahun lalu," tambahnya.
Must-Watch Video