SUKAN SEA
Megat Zulkarnain: Pegawai MASCA beri kerjasama
Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, gembira apabila pegawai Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) memberi kerjasama untuk menyelesaikan isu atlet perahu naga -- di mana skuad lelaki dan wanita negara dijangka dapat menyertai temasya dwitahunan itu, November depan.
Perjuangan pegawai dan atlet perahu naga negara menuju penyelesaian positif.
MASCA sudah meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk meluluskan penyertaan atlet perahu naga yang terdiri daripada 32 orang.
Iklan
Situasi tersebut meredakan ketegangan dalam kalangan atlet negara yang sebelum ini kecewa apabila persatuan itu hanya meluluskan seorang atlet kayak, Adam Aris, yang akan beraksi dalam acara 1,000 meter K1.
Tindakan itu secara tidak langsung mengecewakan skuad perahu naga yang sudah membuat persiapan sejak tahun lalu.
Keputusan muktamad mengenai isu tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan, Selasa depan.
"Kami tidak mahu 32 atlet (perahu naga) ini kerugian. Masing-masing ada pendapat dan pandangan.
"Hari ini, kami mendengar satu pendekatan positif daripada presiden MASCA sendiri (Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin) jadi saya fikir ada tanda-tanda yang positif ke arah itu.
"Soal siapa yang akan mewakili pasukan perahu negara, sama ada dia (Megat Shahriman) akan mewakili skuad negara sebagai atlet atau tidak, itu kami yang akan putuskan," jelas Megat Zulkarnain dalam Mesyuarat Penyelarasan Sekretariat Sukan SEA Filipina di Wisma MOM, petang tadi.
Sementara itu, mesyuarat tersebut turut membincangkan sasaran pingat dalam temasya edisi ke-30 itu.
"Kami dah tengok (cadangan) sasarannya, kami perlu melihat peluang-peluang dalam acara yang kami boleh menangi.
"Saya fikir ia akan dipersembahkan (diumumkan) oleh menteri (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)."
Must-Watch Video