SUKAN SEA

Megat Zulkarnain optimis capai sasaran 70 emas

Bernama 08/12/2019 | 08:22 MYT
Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, optimis atlet negara mampu mencapai sasaran 70 pingat emas dalam edisi ke-30 itu.
Beliau mendedahkan beberapa sukan seperti karate-do, memanah, olahraga dan badminton masih berpeluang untuk menambah kutipan emas kontinjen negara dengan baki dua hari pertandingan sehingga Selasa ini.
Megat Zulkarnain, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), pada masa sama turut melaungkan keyakinan beberapa atlet negara akan mencipta kejutan dalam baki dua hari pertandingan.
“Saya tidak boleh berputus asa dan saya orang silat, jadi kita tunggu sampai penghujung (pertandingan Sukan SEA) dan kami mesti lawan dulu.
“Saingan masih awal lagi, lagi tiga hari (pertandingan) ada dan saya percaya sukan yang kami boleh harapkan, atlet yang kami rasa boleh buat kejutan, selebihnya kita tengok macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad memanah negara di Clark Parade Grounds hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum ini dilaporkan menyasarkan kutipan 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 acara.
Sasaran berkenaan diputuskan hasil mesyuarat antara Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan pegawai persatuan sukan kebangsaan dalam Perhimpunan Kem Fasa Akhir Atlet Malaysia di Bangi, 21 November lalu.
Kontinjen negara diwakili 773 atlet yang terdiri daripada 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita dalam Sukan SEA yang bermula sejak 24 November lalu dan temasya di kluster Manila, Clark dan Subic bakal berakhir pada Rabu ini.
Pencapaian terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur adalah dalam edisi 2007 di Korat, Thailand, menerusi kutipan 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa.
-- BERNAMA
;