HOKI
Megat Shahriman mahu tambah baik Stadium Hoki Kuala Lumpur
Baik pulih Stadium Hoki Kuala Lumpur menjadi langkah pertama buat Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin selepas dipilih sebagai presiden baru Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) bagi penggal 2019-2020 dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, hari ini.
Beliau mendapat sokongan tertinggi dalam AGM kali ke-25 itu dengan meraih 21 undi menewaskan penyandang presiden, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, yang hanya memperoleh 11 undi.
Megat Shahriman akan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, I. Vikneswaran, selaku timbalan presiden selain lima naib presiden yang diketuai oleh Muhamad Fariz Mustafa.
Iklan
Muthu Kannu Veerapen pula menang tanpa bertanding jawatan setiausaha selepas penyandang, V. Rajamanickam, tidak mempertahankannya.
"Kami akan berhubung dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses untuk menambah baik fasiliti Stadium KLHA," katanya.
Sementara itu, Vikneswaran mahu membuat perancangan jangka masa panjang buat KLHA.
"Kami perlu membuat perancangan jangka masa panjang dalam menyusun program-program yang bakal dijalankan di sini," ujarnya.
Must-Watch Video