OLIMPIK TOKYO
Meeraj: Peluang Malaysia layak ke Tokyo makin sukar
Peninju profesional, Meeraj Khan, bimbang dengan peluang wakil negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kuota acara lelaki dikurangkan 25 peratus ekoran penggantungan Persekutuan Tinju Antarabangsa (AIBA) dalam temasya itu.
Peluang peninju negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo makin sukar selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggantung AIBA daripada menguruskan acara itu dalam temasya di Tokyo ekoran masalah dalaman.
Ia juga mengurangkan kuota peninju lelaki daripada 250 kepada 186 sementara saingan wanita menyaksikan pertambahan tiga kali ganda berbanding Sukan Olimpik Rio, empat tahun lalu.
"Tinju adalah antara sukan terawal dunia. Mewakili negara dalam acara ini dalam Sukan Olimpik merupakan satu pencapaian yang membanggakan," kata Meeraj.
Kali terakhir peninju negara layak ke Sukan Olimpik ialah menerusi Sapok Biki dalam temasya 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.
Ketika ini, skuad negara sedang menyertai Kejohanan Golden Glove di Terengganu.
Meeraj turut mendesak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengkaji semula penyertaan dalam acara sambo dalam Sukan SEA Filipina, November depan kerana Malaysia memiliki barisan atlet berpotensi meraih pingat.
"Saya telah berhubung dengan Persatuan Sambo Malaysia dan atlet-atlet Malaysia memiliki potensi untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa. Ia merupakan satu kerugian jika tidak menghantar atlet dalam acara ini."