Skip to main content

Sukan Lain

MCKK Premier 7s: Shizuoka Seiko Academy impi pertemuan dengan MCKK All Blacks

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pic-2.jpg
Perjalanan mereka bermula dari Shizuoka Prefecture, Jepun, hampir 6,000 kilometer jaraknya dari Kuala Kangsar, namun mereka sedikit pun tidak menunjukkan tanda lelah buat pasukan ragbi, Shizuoka Seiko Academy (SSA), sebaik tiba di sini.

Dilatih jurulatih, Sasaki Yohei, pasukan luar negara tunggal dalam MCKK Premier 7s itu tiba di Kuala Kangsar pada Khamis lalu dan terus ke padang ragbi MCKK untuk berlatih bagi menghadapi perlawanan pertama menentang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (ART), Kuala Terengganu hari ini.

“Kami sungguh bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan ini. Kami membawa 12 pemain dan tiga guru dan sebaik saja kami tiba di sini, kami menyedari bahawa ia adalah kejohanan yang besar,” kata Sasaki.

Membawa skuad pembangunan ke kejohanan tujuh sebelah terulung negara, Sasaki menyedari tugas sukar untuk memenangi kejohanan ini.

Jangkaannya menjadi kenyataan apabila pasukan mudanya tewas 5-17 kepada ART dengan mata mereka disumbangkan oleh try daripada Fumiya Hirano.

Meskipun tewas tadi, Sasaki tetap menyimpan impian untuk bertemu tuan rumah, MCKK All Blacks, dalam pusingan kalah mati.

“Sebelum ini, pada Jun atau Julai lalu, saya dijemput untuk menjadi sebahagian daripada persidangan pelajar antarabangsa di MCKK.

“Dari sana, saya mula mengetahui mengenai MCKK Premier 7s. Mereka menjemput akademi saya untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan berprestij ini.

“Impian saya adalah untuk bertemu MCKK All Blacks melihatkan mereka adalah pasukan kuat. Kami berharap untuk bertemu mereka dalam pusingan kalah mati kejohanan.”

“Diharapkan pasukan muda saya mampu memberikan saingan kepada pasukan lain,” tambahnya.

SSA akan meneruskan perjuangan mereka seterusnya menentang Sekolah Menengah King George V, Seremban (KGV) dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam Kumpulan E petang ini.

MCKK Premier 7s yang memasuki edisi kesembilan menampilkan 23 pasukan tempatan dan satu pasukan luar negara merebut Piala NJ Ryan yang berlangsung mulai semalam sehingga esok di Padang Ragbi MCKK.

Untuk rekod, SSTMI sudah menjulang gelaran sebanyak empat kali pada 2011, 2012, 2016 dan 2017, MCKK (2013), Scots College New Zealand (2014), Hong Kong Sports School (2015) dan SMK Sri Mersing pada 2018.

Advertisement

Must Watch Video