Skip to main content

Sukan Lain

MCKK Perdana 7s: SSTMI tepati ramalan ke suku akhir, juara bertahan terkandas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sstmi-ragbi-7s.jpg
Juara empat kali kejohanan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), nyata “liat” untuk digugat apabila sekali lagi menepati ramalan mara ke suku akhir kategori cup Kejohanan Ragbi 7s Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK Perdana 7s) di Perak, sebentar tadi.

SSTMI mara selaku juara Kumpulan B dan dengan rekod bersih tidak tewas dalam semua aksi peringkat awal.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini, SSTMI meneruskan penguasaan dengan mengatasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOM) 34-0.

Pasukan dari Johor itu mendahului 17-0 dalam babak pertama menerusi tiga try yang dihasilkan masing-masing melalui Muhd Izdlan Hazim, Fairuz Efendy, Muhd Aiman Basharudin dan satu conversion.

SSTMI menjarakkan lagi kedudukan dalam babak kedua dengan mengutip tiga lagi try yang dihasilkan Syafiq Azizi Mohamed Sulaiman yang melakukan dua try, disusuli satu try dan satu conversion daripada Muhd Alif Aiman Abdul Majid untuk kemenangan mutlak 34-0.

Dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum itu, SSTMI yang merupakan naib juara edisi lalu, menang 26-5 ke atas SMK Jalan Tiga (ARAS) dan satu lagi kemenangan dicatatkan ke atas SM Sultan Abdul Halim (SEMSAH)  37-5.

Bercakap mengenai pasukan SSTMI, jurulatihnya, Syed Shazril Syed Mahadzir, berkata: “Pertama sekali, syukur Alhamdulilah. Kami bermula dengan agak perlahan dalam perlawanan pertama tetapi pemain semakin mendapat rentak ketika aksi kedua.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan pemain-pemain kerana mereka adalah bercampur antara tingkatan tiga hingga lima. Cuma esok saya harap pertahanan dapat memperbaiki lagi permainan mereka.

"Dengan tiga muka lama dan selebihnya muka baru, saya tetap yakin dengan persiapan yang telah dilakukan, pemain akan dapat mengimbangi aksi seterusnya esok,” katanya.

Pasukan SMK Seri Mersing (SMSM) yang juga juara bertahan terlepas peluang untuk mara ke suku akhir kategori cup.

Beraksi dalam Kumpulan A, SMSM yang turun dengan kebanyakan muka baru hanya menang sekali dan tewas dua kali. Mereka tewas 7-12 kepada SMK Sultan Yahya Petra 1(SMYP1) sebelum mengatasi SMK King Edward VII (KEVII) 24-0 tetapi tumpas 5-29 kepada SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW).

Wakil tunggal luar negara dari Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA), juga gagal menempatkan diri dalam suku akhir kategori cup apabila mereka tewas dalam kesemua tiga aksi dalam Kumpulan E.

Kejohanan MCKK Perdana 7s 2019 yang berlangsung buat edisi kesembilan akan memasuki peringkat akhir esok untuk menoktahkan siapa juara kali ini.
 

Advertisement

Must Watch Video