MBL: Penganjuran Program Integriti elak pemain, pengadil terbabit atur perlawanan

Saufi Tahir
November 17, 2024 16:38 MYT
Menjelang Kejohanan Malaysia Major Basketball League (MBL) 2024/25 yang akan membuka tirai pada 22 November ini, pihak penganjur mengambil kesempatan untuk melangsungkan program integriti bersama pemain dan juga pengadil.
Pesuruhjaya MBL, Cheng Eng Hing, atau lebih dikenali sebagai Frank, menyifatkan misi utama mereka adalah untuk menangkis segala bentuk aktiviti yang mampu mengancam integriti & reputasi pemain serta juga pengadil dalam saingan MBL nanti.
"Daripada tahun lepas kami sudah mulakan program integriti untuk memaklumkan kepada pemain agar tidak terlibat dalam mengatur perlawanan memandangkan mereka masih muda dan masih belajar untuk bermain sukan ini.
"Sekiranya mereka terlibat dengan perkara ini dan judi, makan prestasi mereka akan terjejas. Ini perkara yang amat penting agar semua pasukan dapat beraksi dengan adil.
Frank juga menambah mereka akan menggunakan khidmat Genius Sport yang berpusat di England dalam memantau dan mengesan jika terdapat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan berlaku sepanjang liga itu berlangsung.
"Mereka akan memerhati setiap perlawanan, jika terdapat sesuatu yang diluar daripada kebiasaan maka mereka akan buat laporan kepada kami.
"Kami akan buat soal siasat, jadi mereka punyai sistem untuk menangkis perkara itu daripada berlaku." katanya kepada Nadi Weekend.
#Malaysia Major Basketball League #MBL
;