Maybank Cycling Series Johor: 2,500 peserta berbasikal penuhi bandar Iskandar Puteri
Saufi Tahir
September 14, 2024 22:07 MYT
September 14, 2024 22:07 MYT
Maybank Cycling Series Johor 2024 mendapat penyertaan lebih daripada 2,500 penunggang basikal di seluruh Iskandar Puteri, hari ini.
Acara yang julung kali diadakan itu telah menarik lebih daripada 5,000 pengunjung itu dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan KPRJ Sport Sdn Bhd (KSSB) bagi menyokong inisiatif untuk memelihara warisan semula jadi serta budaya Johor.
Pelumba Malaysia Pro Cycling Team, Mohamad Saari Amri Abd Rasim, muncul juara keseluruhan walaupun dalam cuaca hujan selepas melepasi garisan penamat dengan catatan masa 2:47:37 saat. Dia mengakhiri saingan 17 saat di hadapan pencabar terdekat iaitu Tong Khoon Fung yang mencatat 2:47:54 saat di kedudukan kedua kategor individu lelaki.
Dalam pada itu, kategori individu wanita pula dimenangi oleh pelumba kelahiran Johor, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam dengan catatan masa 2:49:48.
Pelumba berlepas daripada Sunway Bix Box Retail Park, Iskandar Puteri kemudian berbasikal melalui beberapa mercu tanda yang ikonik di sekitar Iskandar Puteri seperti Legoland, EnerG x Park, Leisure Farm Resort, Kukup Golf Resort, laluan sekitar pantai The Museum Bugis untuk memaparkan warisan budaya Johor yang kaya sekali gus memberikan peserta pengalaman berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berharap inisiatif untuk memastikan gaya hidup sihat itu dapat diperluaskan untuk memberikan impak positif pada masa akan datang.
"Siri berbasikal Maybank Johor ini mewakili kepercayaan orang ramai dengan apa yang kami lakukan. Dengan kehadiran orang ramai bersama peminat sukan berbasikal bukan sahaja untuk mempromosikan kesihatan tetapi juga bagi membentuk komuniti yang lebih mapan dan lebih bersatu." katanya.
Kehadiran Olimpian negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Kelly Tan menambah kemeriahan buat para peserta sekali gus mencuri tumpuan orang ramai.