SUKAN SEA
MASCA sekali lagi diuji soal kewangan
Tidak sampai sebulan penyertaan skuad perahu naga disahkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, mereka sekali lagi diuji apabila kali ini Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) mengeluarkan surat amaran kepada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) agar melangsaikan hutang pendaftaran atau berdepan penggantungan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.
MASCA kini mempunyai tempoh kurang daripada enam hari untuk melangsaikan hutang membabitkan yuran pendaftaran kepada badan antarabangsa itu yang berjumlah EUR920 (RM4,220).
Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka mungkin terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam temasya edisi ke-30 itu November depan memandangkan acara kanu dan perahu naga tertakluk di bawah peraturan ICF.
Iklan
Jika dalam tempoh terdekat ini tiada tindakan susulan daripada pihak MASCA, barisan atlet bersedia untuk sekali lagi mengeluarkan duit daripada poket sendiri untuk menjelaskan hutang tersebut.
"(MASCA tertakluk kepada peraturan) ICF untuk bertanding dalam Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Sukan SEA. Menurut surat itu, kalau pembayaran tidak dilakukan pada akhir bulan ini, kami akan hilang kelayakan (untuk bertanding).
"Jadi, saya mohon isu ini diperjelaskan oleh presiden sendiri," kata pengurus skuad perahu naga negara, Datuk Michael Wong, di Wisma MOM, hari ini.
Sebelum ini, mereka berjaya mengatasi kemelut pendaftaran atlet untuk menyertai Sukan SEA ekoran presiden, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, tidak berhasrat untuk menghantar skuad perahu naga dengan sekadar menghantar atlet kayak, Adam Aris, sebagai wakil tunggal.
"Kami perlu tahu sama ada dia (Megat Shahriman) mahu bayar atau tidak.
"Kalau tidak mahu bayar, mungkin ahli-ahli MASCA sendiri akan bayar sebab kami tidak mahu atlet dibebani," katanya lagi.
Must-Watch Video