Masalah disiplin punca gagal kawal berat badan -- Puvaneswaran

Penulis Jemputan
Mac 21, 2019 11:41 MYT
Bekas juara karate-do Asia, R. Puvaneswaran, menganggap atlet yang gagal mengawal berat badan dalam sukan itu memiliki masalah disiplin kerana menjejaskan perancangan jurulatih, persatuan dan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.
Atlet perlu mengawal diet mereka ketika berada di dalam atau di luar kem latihan kebangsaan.
Ia penting bagi memastikan berat badan mereka tidak jauh berbeza dengan kategori yang disertai, sekali gus meletakkan semua perancangan di landasan tepat.
Hal ini berkait rapat dengan faktor disiplin.
"Saya menjaga berat badan dalam kategori 55kg selama 20 tahun. Paling penting adalah disiplin," kata Puvaneswaran.
"Walaupun sebelum kejohanan, berat saya akan meningkat sebanyak 2kg, saya akan mengurangkan berat badan dengan mengawal pemakanan dan memastikan saya mencapai berat untuk acara disertai."
Ketika ini jaguh kumite 55kg negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, bergelut menurunkan berat badan hingga terpaksa menyertai kategori 61kg dalam Kejohanan Kebangsaan di Serdang, Selangor bermula Sabtu ini.
Puvaneswaran, yang bergelar juara Asia tiga kali selain dua kali meraih pingat emas Sukan Asia, sedang menunggu tawaran kontrak baru daripada Thailand selepas dua tahun membimbing skuad karate-do Negara Gajah Putih itu.
"Ia adalah harapan saya berbakti untuk Malaysia. Mungkin belum tiba masanya lagi dan saya berharap peluang akan diberikan."
;