SUKAN LAIN
Masalah dalaman jejas perkembangan akuatik negara
Presiden Persatuan Renang Negeri Sembilan (PRNS), Zainal Othman, berkata rombakan besar-besaran di peringkat kebangsaan perlu dilakukan agar perubahan drastik dapat dicapai dalam misi mengembalikan kegemilangan akuatik negara menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM), Sabtu ini.
AGM kali ini bakal menyaksikan Presiden Persekutuan Renang Malaysia yang dulu dikenali sebagai ASUM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, menang tanpa bertanding.
Bagaimanapun, posisi setiausaha agung akan menyaksikan persaingan dua penjuru; antaranya bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah dan Tan Chin Chin, manakala penyandangnya, Mae Chen, tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini.
"Perlu ada perubahan untuk ASUM meningkat lebih jauh.
"Hari ini kita lihat tentang apa yang telah berlaku selama ini.
"Prestasi atelet merudum kerana program amat mendukacitakan sekali kerana masalah dalaman berterusan.
"Dan kepimpinan harus dipendekkan waktu (tempohnya)," katanya ketika ditemui Astro Arena di Bukit Jalil.
Tambahnya, dana dan kemudahan yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bukan satu masalah, sebaliknya aspek pengelolaan yang buruk memberi kesan kepada atlet.
"Terus terang saya cakap, persatuan mempunyai kewangan yang begitu kukuh dan sepatutnya mereka membantu persatuan negeri-negeri untuk pembangunan, bukan semuanya adalah duit.
"Apa yang saya lihat hari ini, persatuan kebangsaan lebih suka menyimpan dana daripada menyimpan lebih ramai atlet dan pembangunan sukan.
"Majlis Sukan Negara sentiasa memberikan kerjasama seperti segi kewangan. Hanya persatuan sendiri yang bermasalah dengan adanya kepimpinan yang hanya pentingkan diri sendiri," katanya.