Skip to main content

Sukan Lain

Marzuki mahu NAAM senaraikan Suresh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

suresh.jpg
Jurulatih para negara, Marzuki Zakaria, meminta jasa baik Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) untuk menyenaraikan nama S. Suresh dalam program latihan luar negara bersama atlet normal sebagai persiapan rapi ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Juara dunia recurve para, Suresh, sepatutnya bersama skuad memanah kebangsaan yang terdiri daripada atlet normal untuk berpeluang menguji lapangan memanah Yumeshinoma yang juga venue pertandingan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 awal bulan ini.

Disebabkan masalah teknikal, dia tidak ikut sama, sekali gus mencetus kegusaran Marzuki yang berpendapat pendedahan luar untuk Suresh agak terhad meskipun bergelar juara dunia memanah recurve bulan lalu.

Justeru, dia sudah mengusulkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan NAAM untuk menyenaraikan Suresh bagi menjalani latihan di luar negara bersama atlet normal seperti Khairul Annuar Mohammad yang turut telah mengesahkan slot di Tokyo 2020.

"Saya tidak boleh kata apa. Kalau secara peribadi, memang saya berharap kerana itu ada kebaikan untuk atlet agar dapat menyesuaikan diri dengan venue pertandingan. Mungkin ada beberapa perkara yang tak boleh saya jelaskan di sini tetapi saya mengambil langkah positif. Kami akan cuba rancang latihan buat Suresh," katanya.

Ketika ini, Suresh serta rakan sepasukan lain bergantung kepada kejohanan sirkit tempatan di samping perlu bersaing dengan atlet normal dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan.

Marzuki meletakkan sasaran untuk Malaysia memperoleh satu lagi slot ke Tokyo menjelang Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Oktober depan.

"Kami ada berbincang dengan pihak pengurusan dan masih belum diputuskan. Namun, kami akan cuba cari tempat agar atlet yang mungkin layak ke saingan di Bangkok nanti dapat meraih latihan di luar negara. Kalau dikira, saingan di Tokyo juga hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi."
 

Advertisement

Must Watch Video