Skip to main content

Hoki

The Malaysian Hockey Tigers teruskan rentak kemenangan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-hoki-lelaki-2019.jpg
IRELAND 1 MALAYSIA 2

Skuad hoki negara ternyata memanfaatkan peluang beraksi dalam siri jelajah Eropah dengan mempamerkan prestasi cemerlang apabila memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Ireland dalam Kejohanan Jemputan Empat Negara, malam tadi.


Dalam aksi di Terrassa, Sepanyol itu, skuad bimbingan ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans, itu berbalas jaringan dengan pasukan ke-11 dunia itu sejak minit kesembilan.

Malaysia memperoleh jaringan padang melalui pemain tengah, Mohd Fitri Saari, ketika skuad negara ketinggalan 0-1 selepas Ireland mendapat gol hasil pukulan sudut penalti menerusi bintang hoki Ireland, Shane O'Donoghue.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Pemain pertahanan negara, Muhammad Razie Abd Rahim, menggandakan jaringan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Keputusan 2-1 yang berpihak kepada Malaysian Tigers itu kekal sehingga wisel penamat ditiup.

Untuk rekod, semalam, skuad negara mengejutkan tuan rumah, Sepanyol, 4-3 dalam aksi pembukaan Kejohanan Jemputan Empat Negara dan dijadualkan berdepan dengan pasukan nombor enam dunia, England, esok.

Selain kejohanan tersebut, skuad The Malaysian Hockey Tigers akan mengadakan perlawanan ujian menentang Belanda pada Selasa dan Khamis ini, diikuti Belgium pada hujung minggu depan.

Dalam perlawanan ujian pertama siri jelajah Eropah minggu lepas, skuad negara melakukan kejutan besar apabila buat kali pertamanya berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 serta juara dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld.

Siri jelajah Eropah tersebut merupakan antara program Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 Tokyo, November depan.

Malaysia dijangka berdepan salah satu daripada empat negara -- Jerman, Sepanyol, New Zealand dan Kanada -- dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 itu kelak. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video