Skip to main content

Hoki

The Malaysian Hockey Tigers akhiri kempen di tempat ketiga

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azrai-aizad.jpg
MALAYSIA 4 KANADA 2 

Skuad bimbingan Roelant Othmans menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di tempat ketiga selepas mencipta kemenangan 4-2 ketika berdepan Kanada dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Ipoh, Perak, sebentar tadi. 


Berdepan Kanada buat kali kedua dalam edisi ini, Oltmans tidak banyak melakukan perubahan daripada senarai kesebelasan utama ketika menentang lawan yang sama dalam pusingan awal malam tadi apabila hanya melakukan satu pertukaran yang membabitkan ketua pasukan berikutan tugas berkenaan digalas Meor Azuan Hassan.

Aksi dalam suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan corak permainan pantas yang menyebabkan posisi penjaga gol antara tonggak yang paling sibuk. 

Kanada, bagaimanapun, terlebih dahulu di depan hasil jaringan ketua pasukan, Meathew Pearson.

Reaksi pantas selepas ketinggalan menyaksikan pasukan negara bangkit dengan permainan lebih tersusun dan usaha itu menghasilkan jaringan penyamaan yang disempurnakan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

Malaysia nyata lebih agresif dengan dua gol pantas dalam suku kedua. 

Ia berpunca daripada pukulan sudut penalti sebelum tindakan susulan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menggamatkan Stadium Hoki Azlan Shah untuk gol kedua Malaysia dan selang seminit, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menambah derita Kanada untuk gol ketiga negara.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan untuk gol keempat dan giliran Faizal Saari pula mencetak nama selaku penjaring hasil pukulan sudut penalti sebelum jaringan padang James Wallace menjadikan kedudukan 2-4.
   
"Saya baru dapat menjaringkan gol selepas beberapa perlawanan. Sebelum ini saya tidak mendapat peluang sebegini dan apabila ia terhidang, saya dapat melakukannya dengan betul.

"Saya tidak sangka akan dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan kerana ramai lagi pemain senior yang beraksi lebih baik. 

"Saya masih muda dan masih belajar dengan mereka, Alhamdulillah kerana ini merupakan kali pertama saya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan," kata Azrai yang merupakan muka baru The Malaysian Hockey Tigers. 

Tambah ketua jurulatih negara, Oltmans: "Kami meledakkan jaringan yang menarik melalui gol padang dan pukulan sudut penalti. 

"Kami menyumbat empat gol dan mungkin boleh mencatat lebih banyak jaringan lagi tetapi dibolosi pada hujung permainan meskipun mahu mengelakkannya tetapi tidak mengapalah. 

"Secara keseluruhannya, ia pertemuan yang menarik dengan Kanada dan persediaan yang baik menjelang kempen bulan depan (Final Siri Hoki Dunia di Bukit Jalil)." 

Keputusan penentuan tempat kelima: 

JEPUN 6 POLAND 1
 

Advertisement

Must Watch Video