HOKI
Malaysia tidak boleh mudah mengaku kalah -- Farah Ayuni
Penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, menganggap kekalahan kepada Belgium harus mencetuskan semangat tidak mahu mengalah dalam jati diri skuad hoki wanita negara andai mereka mahu menjadikan pentas dunia sebagai platform utama selepas ini.
Mengakui kegagalan pada Sabtu terselit perasaan sedih, Ayuni tidak mahu terbawa- bawa dengan emosi yang membelenggunya.
Dia sebaliknya memberikan motivasi kepada diri sendiri, segala-galanya perlu dihadapi dengan tenang dan mengambil kira pengajaran yang baik untuk dijadikan kekuatan pasukan pada masa akan datang.
Perit untuk diterima, namun pengajaran dan pengalaman bersaing dengan pasukan kuat seperti Belgium ibarat satu penghargaan daripada pasukan Eropah buat Malaysia mengikut jejak langkah mereka selepas ini.
"Kekalahan ini akan menjadi pemangkin untuk perlawanan akan datang, Belgium memiliki kualiti individu yang mampu menggugat kami. Ia merupakan satu pengalaman yang baik buat kami," katanya. .
Tegas Farah Ayuni, tewas sekali bukan bererti selamanya dan dia berharap Malaysia mampu mempamerkan kebangkitan selepas ini.
"Kami telah memberikan yang terbaik tetapi rezeki tidak menyebelahi kami. Kami tidak mengganggap kekalahan tersebut sebagai kegagalan. Malaysia akan terus cuba memberikan yang terbaik dalam aksi akan datang."