HOKI
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan ketiga
BELGIUM 9 MALAYSIA 0
Pasukan hoki wanita Malaysia gagal melakar kejutan ke atas pasukan tangga ke-14 dunia yang juga tuan rumah, Belgium, apabila tewas 9-0 dalam saingan Kumpulan B pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Fallom, Belgium, semalam.
Ia merupakan kekalahan ketiga Malaysian Tigress dalam saingan kali ini dan bakal menempuh laluan sukar apabila memerlukan keajaiban dalam perlawanan terakhir bertemu New Zealand, 27 Jun nanti jika mahu melayakkan diri ke suku akhir.
Iklan
Belgium memperoleh gol pertama hasil jaringan padang Anne Sophie Weyns seawal minit kedua perlawanan.
Pasukan tuan rumah terus mempamerkan aksi agresif melancarkan serangan ke arah kubu Malaysia dan hasilnya mereka menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Aline Fobe, lima minit kemudian.
Anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah turut berpeluang menghasilkan jaringan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti, namun gagal dimanfaatkan.
Gill Boon menambah derita pasukan negara dengan satu gol padang pada minit ke-22, sekaligus memberikan kedudukan selesa 3-0 menuju penamat separuh masa pertama.
Dalam separuh masa kedua, malang terus menimpa Malaysia apabila Belgium menjaringkan tiga gol lagi menerusi pukulan strok penalti yang disempurnakan oleh Stephanie Vanden Borre (m-33 dan 44) dan Boon pada minit ke-37, menjadikan kedudukan Belgium semakin selesa mendahului Malaysia dengan 6-0.
Walaupun selesa mendahului perlawanan, Belgium terus mempamerkan corak permainan menyerang dan terus menghukum Malaysia dengan tiga lagi jaringan oleh Anok Raes (m-48 dan 58) dan Emma Puvrez (m-53) untuk meraih tiga mata penuh.
Must-Watch Video