SUKAN LAIN
Malaysia Swimming buka peluang penerjun buru kelayakan ke Sukan Olimpik
Setiausaha Kehormat Malaysia Swimming, Mae Chen, membuka ruang kepada semua penerjun negara bersaing rebut tempat di Sukan Olimpik Paris.
Berdasarkan prestasi yang ditonjolkan di Sukan SEA Malaysia kekal mendominasi walau tanpa kehadiran bintang ternama.
Daripada segi kelebihan darjah kesukaran masih jauh menyamai bintang terjun negara seperti Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Syafiq Puteh mahupun Ooi Tze Liang.
Namun bagi mengecilkan jurang itu, Malaysia Swimming sudah ada pelan jangkamasa pendek untuk penerjun muda negara yang turut mendapat peluang sama dengan atlet senior.
"Kami telah menyenarai penerjun muda untuk ke Kejohanan Dunia dan mereka bakal menjalani latihan di China bagi meningkatkan lagi tahap terjunan," katanya.
"Negara-negara jiran turut mempamerkan peningkatan dalam kualiti terjunan dan misi kami adalah memastikan setiap penerjun negara terus berada di hadapan."
Enrique Maccartney Harold yang menyumbang pingat emas kepada skuad terjun negara di Sukan SEA Kemboja dalam acara platform lelaki turut memberi bayangan bahawa dia sedia bersaing dengan penerjun senior untuk menggapai impiannya beraksi di Sukan Olimpik.
Selain Enrique, skuad terjun negara turut meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita menerusi Kimberly Bong Qiang Ping sebelum Muhammad Syafiq Puteh menyumbang emas kedua dalam kategori lelaki manakala Lee Yiat Qing yang baru berusia 15 tahun mengungguli acara platform wanita.
Pencapaian itu menyaksikan skuad terjun negara yang menampilkan penerjun muda meneruskan dominasi di Sukan SEA apabila menutup saingan di Pusat Akuatik Morodok Techo, semalam dengan menyapu bersih semua empat pingat emas yang dipertandingkan.