HOKI
Malaysia pamer komitmen, keinginan untuk menang -- Sukri
Kapten skuad hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha rakan sepasukannya apabila berjaya melakar kemenangan 3-2 ke atas India dalam saingan separuh akhir Liga Dunia, sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.
Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Malaysia selepas melakar dua kemenangan dalam peringkat kumpulan berdepan Korea Selatan dan China sebelum menundukkan India untuk mara ke separuh akhir berdepan Argentina.
Kapten pasukan, Sukri meluahkan perasaan gembiranya di atas kejayaan Malaysia mengetepikan India dalam aksi yang penuh dramatik untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.
"Saya sangat gembira kerana kami berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan berdepan India. Saya mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan saya kerana telah memberikan yang terbaik," katanya.
"Kami telah berjaya bermain dengan baik. Selepas gagal ketika beraksi di Antwerp dua tahun lalu, kami berjaya melakar sesuatu kali ini," ujar penjaga gol, S. Kumar.
"Saya sangat bersyukur di atas usaha kami membuat persiapan sebelum ini dan sasaran untuk ke Piala Dunia tercapai," kata Meor Azuan Hassan pula.
Pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, membuka tirai jaringan menerusi gol pembukaan pada minit ke-19.
Penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, melebarkan kedudukan Malaysia dua minit kemudian.
Bagaimanapun, India merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan pantas daripada Harmanpreet Singh pada minit ke-22 dan 24.
Malaysia lebih agresif selepas rehat untuk dihadiahkan dua pukulan sudut penalti.
Razie memastikan kemenangan menerusi tolakan kencang dalam separuh masa kedua untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2018.