SUKAN LAIN
Malaysia layak ke Piala Dunia Hoki Remaja
Malaysia mengekalkan rekod layak ke Piala Dunia Hoki Remaja buat kali keenam berturut-turut selepas kejohanan kelayakan di Dhaka, Bangladesh dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.
Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengeluarkan sistem kelayakan yang menyaksikan skuad kendalian Wallace Tan menghuni ranking ketiga terbaik Asia sekali gus mengesahkan tempat ke Guwahati, India, November depan.
AHF terpaksa mengambil tindakan drastik mengenai empat slot ke Piala Dunia Hoki Remaja.
Ia ekoran situasi tidak menentu di Dhaka yang menyaksikan Piala Remaja Asia ditunda sebanyak tiga kali sekali gus menjejaskan persiapan pasukan.
Oleh hal demikian, AHF mengeluarkan sistem ranking yang menyaksikan India berada di tangga teratas, diikuti Pakistan, Malaysia dan Korea.
Ini bermakna, Malaysia layak secara automatik sekali gus perlu menyambung sesi latihan yang terhenti sejak bulan lalu ekoran COVID-19.
"Skuad hoki remaja negara telah layak ke Piala Dunia Hoki Remaja 2021, kami telah membuat persiapan untuk baki tiga bulan sebelum saingan bermula," kata pengurus skuad hoki remaja negara, I. Vickneswaran.