Skuad hoki negara bakal berdepan cabaran Great Britain, Pakistan dan China dalam peringkat kumpulan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris di Oman.
Hoki Kelayakan Olimpik Paris 2024 itu bakal berlangsung di Muscat, Oman bermula 15 hingga 21 Januari tahun hadapan.
Satu lagi pertandingan akan diadakan di Valencia, Sepanyol dengan hanya tiga pasukan dalam setiap pertandingan bakal meraih slot ke sukan temasya terbesar dunia itu.
Malaysia berdepan rintangan di Oman selepas diundi bersama juara Olimpik dua kali iaitu Great Britain dan Pakistan yang menamatkan saingan Trofi Juara-Juara Asia 2023 di tempat kelima.
Satu lagi pasukan melengkapkan cabaran kumpulan A adalah China yang merekodkan satu penampilan di pentas Olimpik iaitu pada edisi 2008.
Kumpulan B pula diisi oleh Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan bakal mara ke separuh akhir sebelum berentap merebut tiga slot ke Paris.
Untuk rekod, skuad lelaki negara terlepas peluang mendapatkan laluan automatik ke Paris di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.
Aksi Hoki di Sukan Olimpik Paris bakal diadakan di Stadium Yves-du-Manoir pada 27 Julai hingga 9 Ogos 2024.
Namun, ia hanya spekulasi mengenai kedudukan Malaysia menjelang pusingan kelayakan Olimpik Paris.
Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijangka mengumumkan keputusan undian kelayakan Olimpik dalam masa terdekat.
Daeng Dhadyry
Sat Nov 04 2023