Malaysia diberi lampu hijau bertindak selaku penganjur AUG 2026


Jun 25, 2024 20:26 MYT
Malaysia diberi lampu hijau untuk menganjurkan Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi 2026.
Selepas terpaksa memberi laluan kepada Indonesia untuk edisi kali ini, Malaysia kekal sebagai tuan rumah walaupun Kemboja cuba menawarkan diri sebagai penganjur.
Perkara itu disahkan sendiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud selepas perbincangan bersama jemaah menteri diadakan minggu lalu.
Tambahnya lagi, mesyuarat diantara Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) yang melibatkan wakil Malaysia serta Kemboja memutuskan persetujuan untuk memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menganjurkan sukan universiti berprestij itu.
AUG 2024 yang diadakan di Surabaya, Indonesia sepatutnya diadakan di Malaysia namun atas beberapa faktor, hak penganjuran terpaksa dilepaskan dan dianjak kepada 2026.
Ia sekaligus menyaksikan usaha Kemboja menawar diri sebagai tuan rumah edisi itu tidak membuahkan hasil.