BERITA SUKAN AM
Malaysia berpeluang tambah emas, gangsa Sukan SEA
Barisan baru Lembaga Eksekutif, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berdepan tugas pertama, iaitu mengurus kes doping Sukan SEA lalu sambil bekas presiden, Tunku Imran Tuanku Ja'afar, mengesahkan Malaysia berpeluang menambah satu pingat emas dan satu gangsa.
Lembaga eksekutif lama MOM meninggalkan tugas penting yang perlu diuruskan dalam masa terdekat dengan dua kes doping Sukan SEA 2017 dikesan apabila membabitkan sukan ekuestrian dan angkat berat kontinjen luar negara.
Situasi itu akan menguntungkan Malaysia kerana kedua-dua kes menyaksikan atlet Malaysia berpeluang menukar warna pingat.
"Kami tahu kes itu tetapi saya belum melihat butirannya kerana menyerahkan kepada jawatankuasa pesuruhjaya perubatan untuk mengendalikannya.
"Kami tidak akan terlibat dengan proses yang sedang dijalankan. Jika tidak, ia akan menimbulkan kritikan bahawa proses ini tidak adil.
"Kami sebagai ahli lembaga membiarkan mereka untuk melaksanakan tugas mereka. Mereka hanya berkongsi maklumat dengan Malaysia untuk membuat keputusan berhubung kes tersebut, " ujar Tunku Imran.
Kes itu lambat dikesan kerana membabitkan Sistem Pengurusan Anti-Doping (ADAMS) yang dijalankan oleh badan induk antarabangsa ekuestrian dan angkat berat.