Luncur Ais: Tiga emas diraih pada hari terakhir


Ogos 30, 2017 13:52 MYT
Sukan luncur ais menghadiahkan tiga pingat emas buat kontinjen negara pada hari terakhir temasya KL2017 di Empire City, Damansara Perdana, hari ini.
Malaysia mendominasi acara 3,000 meter berganti-ganti menerusi skuad lelaki dan wanita serta 1,000m individu wanita.
Anja Chong sekali lagi unggul untuk memenangi emas 1,000m individu wanita dengan kepantasan 1 minit 48.835 saat untuk mengatasi Cheyenne Goh dari Singapura dan rakan senegara, Ashley Sook Hui Chin.
Selepas itu, Anja Chong, Ashley Sook, Nor Marissa Alia Ahmad Lokman dan See Wan Ni membentuk gandingan terbaik dengan kepantasan luncuran 5:14.649s bagi memastikan kilauan emas untuk mengatasi pencabar terdekat, Singapura yang mencatat 5:18.122s, disusuli Indonesia (5:24.052s) dalam kategori 3,000m berganti-ganti wanita.
"Saya akan membawa keyakinan dalam kejohanan ini untuk aksi dalam kelayakan Sukan Olimpik. Terdapat empat kejohanan kelayakan Olimpik dalam beberapa bulan akan datang," ujar Anja.
Skuad lelaki yang diperkuatkan barisan Wong De-Vin, Mohd. Ariff Rasydan Fadzli, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil, turut menghadapi cabaran daripada Singapura sebelum muncul juara dengan kepantasan 4:31.438s.
"Pesaing terbesar kami adalah Thailand tetapi disebabkan peraturan mereka tidak dapat beraksi dalam final. Jadi, kami yakin mampu menghadiahkan emas," kata De Vin.
Terdahulu, atlet 1,000m lelaki, Hazim, meraih gangsa dengan catatan 1:57.870s selepas memberi saingan kepada atlet Thailand, Triphop Thongnam, yang mengungguli acara itu dengan rekod 1:55.127s manakala Lucas Ng merekodkan perak buat Singapura.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
#Luncur ais #Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 #emas #3000 meter berganti-ganti #KL2017)
;