Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: TSC penyelamat maruah wakil tempatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tsc.jpg
Team Sapura Cycling (TSC) menjadi penyelamat maruah wakil tempatan dalam peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Kuching, Sarawak menerusi Ahmet Orken, namun terpaksa membayar harga yang mahal untuk kejayaan tersebut.

Seramai 123 pelumba memulakan saingan dengan jarak dipendekkan menjadi 85.6 kilometer daripada jarak asal 96.2km bagi memberi ruang buat semua pelumba untuk transit ke Kuala Terengganu pada sebelah petang menghadapi saingan peringkat kedua esok.

TSC, yang turun dengan senarai pelumba yang baru berbanding saingan kriterium antarabangsa di Kota Kinabalu semalam, merangka strategi terbaik yang menyaksikan Orken mengejar pendahulu, Yevgeniy Fedorov dari Vino-Astana Motor dan Thurakit Boonrathanathanakorn dari Thailand untuk menaiki podium.

Percubaan terbaik pelumba tempatan pula ialah menerusi Harrif Salleh daripada Terengganu Cycling Team (TSG), yang menamatkan saingan di tangga ke-10.

Orken,  juara kebangsaan Turki 2019, mendapat tempat ketiga, tetapi berdepan denda berjumlah 2500 Swiss franc (RM10,600) daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) gara-gara tidak memakai jersi juara kebangsaan seperti pelumba lain yang memegang reputasi sama.

"Saya dan rakan sepasukan telah melakukan gandingan yang terbaik dalam kejayaan pasukan bagi meraih kemenangan ini," kata Orken.

Bagaimanapun ia tidak merencatkan sambutan TSC yang memulakan saingan dengan langkah kanan memandangkan pasukan juara bertahan itu terpaksa bersaing dengan pasukan jelajah dunia, NTT Pro Cycling, yang diletakkan sebagai pilihan kejohanan. 

"Sememangnya, kami cuba mengekalkan kedudukan pasukan nombor satu Asia dan ia adalah sasaran kami bagi kejohanan kali ini," kata pengurus TSC, Sayuti Zahit.




Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video