Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengumumkan Tourism Malaysia sebagai penaja jersi bintik polka Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.
Ketua pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berbesar hati dengan penajaan itu yang membawa gelaran 'raja bukit'.
"(Langkah ini merupakan) satu penghormatan kepada Tourism Malaysia sebagai penaja utama. 'Polka dot' tidak semestinya melibatkan laluan Genting dan digelar raja bukit.
"Genting pernah menjadi penaja utama dan kali ini tidak dapat bersama tetapi kali ini laluannya telah dipersetujui kerana ia merupakan salah satu peringkat pendakian yang paling sukar," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghafar, meletakkan hasrat untuk melihat pelumba negara seperti Muhammad Nur Aiman Zariff menyarung jersi berprestij berkenaan memandangkan Nur Aiman pernah menempatkan diri dalam kelompok terbaik edisi 2020 dan 2022.
"Sebagai rakyat Malaysia sudah tentu saya mahu melihat pelumba tempatan memenangi jersi ini.
"Dalam persaingan sihat, siapa yang berkemampuan akan memenanginya tetapi andai pelumba tempatan yang memenanginya, ia publisiti untuk Malaysia termasuk industri pelancongan kita.
"Jadi kalau orang lain (luar) boleh yang menang di 'kampung kita'. mungkin ada sesuatu yang tidk kena. Mungkin satu cabaran untuk pelumba-pelumba Malaysia," katanya pula.
Petronas sebelum ini diumumkan sebagai penaja utama dan diberikan penghormatan untuk jersi hijau merangkap juara keseluruhan bagi perlumbaan dari 23 hingga 30 September ini.
Shaiful Shamsudin
Mon Sep 18 2023
