SUKAN LAIN
LTdL: Pelucchi tawan peringkat kelima
Pelumba pasukan Androni Gocattoli Sidermec, Matteo Pelucchi, muncul warga Itali pertama memenangi peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ini selepas menjuarai peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping, hari ini.
Perlumbaan peringkat kelima itu bermula dari Proton City, Tanjung Malim dengan menawarkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.
Zon pecutan pertama di Sungkai diungguli pelumba Pasukan Pro Touch, Kent Main, sementara dua lagi zon pecutan di Kampar dan Sungai Siput diterajui pelumba daripada pasukan Bardiani CSF, Paolo Simione.
Beberapa pelumba melakukan 'breakaway' pada kilometer ke-100 dengan diketuai pelumba Pasukan Sapura Cycling (TSC), Christian Raileanu, namun menuju ke 16 kilometer terakhir, persaingan semakin rancak apabila beberapa pelumba melakukan asakan.
Biarpun hujan lebat membasahi bumi Taiping, Pelucchi tidak menghadapi masalah untuk terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 27.11 saat.
Bagaimanapun, jersi kuning (pendahulu keseluruhan) masih kekal milik pelumba TSC, Benjamin Dyball.
"Kami menjangkakan 'breakaway' itu sudah mencukupi, namun kami perlu berusaha keras pada 13 kilometer terakhir untuk berkayuh sebaik mungkin dalam pendakian.
"Kami berjaya melakukan henjutan dan mula menyusun pecutan sehingga berjaya.
"Pada awalnya, kami menjangkakan yang kami sudah tewas, namun kami terus berusaha sehingga memenangi peringkat ini," kata Pelucchi.