Dengan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 hanya berbaki enam hari sahaja lagi, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bakal mengumumkan senarai nama pelumba kebangsaan esok.

Jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Yusof Abdul Nasir, meluahkan keyakinannya sekalipun pasukannya bakal dibarisi hampir 90 peratus muka baru.

Namun, reputasi sedemikian tidak boleh menafikan potensi yang mampu dilakar anak buahnya sambil Yusof mengakui ini merupakan pasukan Malaysia paling kuat pernah dihantar.

"Barisan pelumba tahun ini seimbang dengan adanya pendaki, tukang pecut, super domestik jadi saya dapat rasakan tahun ini adalah pasukan terkuat Malaysia," katanya di Bukit Jalil hari ini.



Dalam pada itu, Yusof juga berharap pasukannya mampu untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik Asia kali ini.

"Saya harap kami menjadi pasukan Asia terbaik walaupun adanya pasukan saingan daripada ASTANA, China, Filipina dan Indonesia.

"Kalau dapat menjuarai satu peringkat dianggap satu bonus," katanya lagi.