Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Danieal mahu ulang kejayaan di Kuala Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

danieal.jpg
Pelumba lebuh raya negara, Danieal Haikal Eddy Suhaidee, enggan terlepas peluang untuk mencipta kejayaan sekali lagi di laluan Kuala Terengganu dalam penampilan pertamanya dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Turun selaku pelumba berstatus domestik, Danieal mengakui perlu menggalas cabaran lebih berat untuk bersaing dengan barisan pelumba daripada pasukan Jelajah Dunia dan Benua. 

Bagaimanapun, pelumba berusia 22 tahun itu enggan menjadikan ia sebagai alasan, sebaliknya bertekad untuk meraih sekurang-kurangnya gelaran pelumba terbaik Malaysia.

Danieal sebelum ini mencipta sejarah peribadi selepas meraih podium dan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dalam saingan peringkat pertama di laluan Kuala Terengganu dalam Jelajah Semenanjung 2019.

"Sebelum ii, saya meraih podium dalam saingan berstatus 2.1 apabila bersaing dengan banyak pasukan benua.

"Kali ini, dalam LTdL, kami perlu menghadapi saingan daripada pasukan yang lebih berpengalaman. Dengan hadirnya beberapa barisan pelumba senior, mereka akan memberikan tunjuk ajar kepada saya," katanya. 

Sebagai pelumba muda kebangsaan, Danieal enggan  sekadar menamatkan perlumbaan, sebaliknya menganggap perlu membalas kepercayaan ketua jurulatihnya, Mohd Yusof Abdul Nasir.

"Peringkat paling sukar semestinya di Genting kerana pada permulaan perlumbaan sudah perlu mendaki. Peringkat pilihan saya adalah yang kedua, iaitu di Terengganu."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video