SUKAN LAIN
LTdL: Benfatto juara peringkat kelapan
Pelumba Itali, Marco Benfatto dari pasukan Androni Giocattoli Sidermec, mengulangi persembahan terbaiknya apabila mengungguli peringkat terakhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, hari ini.
Laluan peringkat kelapan dari Dataran Lang ke Pekan Kuah menuntut semua pelumba membuat tiga pusingan untuk jarak sejauh 103.8km.
Tiga zon pecutan ditawarkan dengan dua daripadanya di Nior Chang dan Ulu Melaka diungguli Daniil Pronskyi sementara satu lagi milik James Oram di Pekan Kuah.
Tiga zon pendakian yang dijalankan di Lebuhraya Langkawi pula menyaksikan Kwon Soon-yeong dari KSP Bianchi Asia Pro Cycling menawannya sebanyak dua kali sementara satu lagi milik Daniel Savini dari Bardiani CSF.
Menuju pusingan terakhir, iaitu 8 kilometer menuju ke garisan penamat, Benfatto menggandakan usaha untuk memperoleh kemenangan keduanya selepas memenanginya pada peringkat keenam dari Bagan ke Alor Setar tempoh hari.
"Saya telah berusaha untuk mengulangi persembahan peringkat sebelum ini dan berjaya memenangi peringkat terakhir LTdL," kata Benfatto.