SUKAN LAIN
LTdL 2022: Insiden menuju garisan akhir rencat pecutan Harrif Saleh
Jakub Mareczko dari pasukan Alpecin Deuceninck mengungguli peringkat keempat perlumbaan berbasikal lebuh raya Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 apabila melintasi garisan di hadapan pelumba Lotto Soudal, Rudiger Selig, sementara Michael Grosu (Drone Hopper Androni) di tempat ketiga.
Pelumba dari Itali itu menamatkan perlumbaan sejauh 137.9 kilometer dari Sabak Bernam ke Meru Raya dengan catatan masa 3'15:37s.
Tiga pelumba yang terdiri daripada Ricardo Zurita (Drone Hopper), Jambaljamts Sainbayar (TSG) dan Ryuki Uga Ukyo) kemudian melakukan breakaway seawal kilometer kelima.
Dalam masa sama, pelumba dari Mongolia, Sainbayar, mendominasi ketiga-tiga zon pecutan dengan menyapu bersih mata terbanyak untuk saingan jersi hijau.
Berbaki 12 kilometer ke garisan tamat, kesemua pendahulu awal ditentang peloton yang mengejar dengan kelajuan sehingga 60km sejam.
Dan tatkala, kesemua pasukan sibuk mengatur strategi dengan perlumbaan semakin menghampiri Meru Raya dengan pasukan World Tour Lotto Soudal dan Movistar mengepalai kayuhan.
Dengan berbaki 2km ke garisan penamat, saingan semakin sengit dengan kesemua pasukan mempertaruhkan pelumba pecut mereka dan dalam situasi itu, pelumba tempatan, Harrif Saleh, yang memenangi peringkat itu dua tahun lalu terpaksa mengelak segerombolan pelumba yang terjatuh -- 2km menuju tamat perlumbaan.
"Saya sudah berada di posisi terbaik tapi dalam 1km terakhir, ada pelumba yang terjatuh di depan saya.
"Saya sempat elak tapi hampir terjatuh.
"Oleh kerana kelajuan sudah menurun, saya tidak lagi sempat mengejar kedudukan pelumba di depan," kata pelumba Terengganu Polygon Cycling Team itu.