KL2017
Lima atlet olahraga bakal diserap ke program Podium
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu mencadangkan nama lima atlet bagi diserapkan ke dalam program Podium dengan diketuai raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.
Kem olahraga negara berjaya mencetuskan impak di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila menghadirkan kutipan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur yang berakhir semalam.
Pencapaian itu hampir tiga kali ganda mengatasi kutipan di Singapura dua tahun lalu.
Iklan
Lebih menarik, skuad olahraga berjaya memecahkan tiga rekod temasya menerusi Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang lelaki), Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong (baling tukul besi) tatkala Nauraj Singh dan Lee Hup Wei berjaya menyamai rekod temasya dalam acara lompat tinggi.
Justeru, KOM bercadang mencalonkan nama beberapa atlet untuk diserapkan ke dalam program Podium.
"Kita akan calonkan Khairul, Irfan, Hakimi, Jackie serta Grace," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.
Sementara itu, Khairul berkata: "Andai kata saya disenaraikan dalam program Podium. Saya akan berusaha dengan lebih giat. Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, (Mohd) Fuad (Kassim), dan rakyat Malaysia yang telah mendoakan kejayaan saya."
"Kalau diterima masuk, persiapan untuk saya ke kejohanan seterusnya sudah tentu lebih baik," kata Hakimi.
Pencapaian kali ini juga adalah yang terbesar sejak 1999, namun rekod pencapaian terbaik olahraga kekal pada 1997 di Jakarta, Indonesia apabila Malaysia meraih 17 emas.
Must-Watch Video