Skip to main content

Hoki

Liga Hoki Remaja: SSTMI idam dua gelaran

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ligahokiremaja23218.jpg
Pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt mempunyai misi serampang dua mata bagi musim 2018 apabila bukan sahaja turun untuk mempertahankan gelaran sebagai juara Piala Remaja TNB, malah turut berhajat merampas gelaran juara Liga Hoki Remaja daripada juara bertahan, MBPJ Tigers.

Masih mengekalkan 10 pasukan yang akan bertanding dalam saingan liga musim ini, SSTMI meletakkan sasaran tinggi untuk menjulang dua piala.

Tahun lalu, perebutan juara liga menyaksikan SSTMI menelan perit apabila mengumpul 21 mata, hanya dipisahkan dua mata dengan pendahulu, MBPJ Tigers, yang mengutip 23 mata, sekali gus mencipta sejarah menjulang kejuaraan sulung mereka sepanjang pembabitan dalam saingan Liga Hoki Remaja.

Bagaimanapun, SSTMI berjaya menebus kekecewaan apabila meraih Piala TNB selepas menundukkan AHP Thunderbolts di pentas akhir.

Mengekalkan ramuan yang sama, jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman, optimis mereka mampu mencapai sasaran dua piala musim ini.

"Tahun lalu, kami terlepas satu gelaran dan kami hanya memperoleh juara keseluruhan.

"Kami berharap dapat mengekalkan penamat di podium tetapi kalau dapat gelaran berganda, ia satu bonus untuk kami," kata Roslan.

Sementara itu, MPBJ mengambil pendekatan merendah diri kerana mereka kini menyerap masuk beberapa pemain muda bagi digandingkan dengan pemain sedia ada dalam membentuk skuad baru mengharungi musim ini.

"Kalau nak kata mudah, ia tidak mudah. Kami membuat analisis pasukan lawan seperti SSTMI. Ada pemain-pemain mereka yang sudah bermain dalam Piala Sultan Johor dan ada juga yang bermain dalam Liga Hoki Malaysia. 

"Daripada segi pengalaman, mereka memiliki kelebihan yang besar," kata ketua jurulatih MBPJ, Hafizi Baharom.
 

Advertisement

Must Watch Video