HOKI
Liga Hoki Dunia Wanita: Skuad negara dituntut pamer aksi melawan
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menjangkakan aksi sukar berdepan New Zealand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Hoki Dunia Wanita di Brussels, Belgium, malam ini.
Namun, itu tidak bermaksud mereka perlu menyerah, sebaliknya jurulatih itu menuntut aksi melawan daripada Malaysian Tigress.
New Zealand pasti mahu mencari jaringan besar ke atas Malaysia selepas kejayaan Belgium mencipta kemenangan 9-0, tempoh hari.
Iklan
Bagaimanapun, Dhaarma bersedia dengan cabaran yang akan dilancarkan New Zealand yang turut diakui memiliki gerakan licik dan pantas, khususnya membabitkan bahagian depan selain kecemerlangan mereka dalam setiap peluang pukulan sudut penalti.
"New Zealand pasti akan cuba memalukan kita kerana mereka memerlukan gol selepas kalah kepada Belgium.
"New Zealand, Australia dan Belgium akan memburu seberapa banyak gol yang boleh," ujar pengendali negara itu.
Berhadapan New Zealand yang berada di tangga kelima dunia, itu tidak bermakna Dhaarma perlu memilih corak bertahan.
Jurulatih itu mahu Malaysia mencari ruang asakan dan dalam masa yang sama, perlu mengekang asakan New Zealand.
"Kalau mahu mengatakan kami hanya akan bermain secara bertahan dan 'meletakkan bas', prestasi pemain kita tidak akan meningkat.
"Saya mahu mereka bermain secara menyerang dan bertahan.
"Tetapi, saya mengharapkan kami tidak dibelasah."
Must-Watch Video